PETALING JAYA: Isu pemilikan kediaman bagi rakyat Malaysia terutamanya bumiputera menunjukkan peningkatan, namun ia masih belum mencapai tahap yang sewajarnya.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, kerajaan melalui KPKT memberi perhatian kepada aspek kemampuan kewangan dan akses kepada pembiayaan perumahan.
Katanya, ia dizahirkan melalui Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia atau i-BIAYA dengan usaha bersama Kementerian Kewangan yang telah diperkenalkan sejak 2022.
“Melalui kerjasama itu, ia menawarkan skim pembiayaan Skim Jaminan Kredit Perumahan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) Berhad untuk membantu pembeli rumah pertama yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti pekerja ekonomi gig dan bebas, pemilik perniagaan, peniaga atau usahawan kecil,” katanya dalam ucapan Pameran Ekspo Rumah BPEX, semalam.
Selain itu, katanya, kerajaan telah meningkatkan jaminan pembiayaan di bawah SJKP dengan nilai tambahan jaminan sebanyak RM10 bilion menjadikan keseluruhan RM20 bilion sejak diperkenalkan pada 2008.
Mengulas lanjut beliau berkata, inisiatif kerajaan menerusi Kempen Pemilikan Kediaman yang memberikan insentif pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik harta tanah dan perjanjian pinjaman masih lagi berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2025.
“Inisiatif ini melibatkan pengecualian duti setem 100 peratus untuk pembelian rumah pertama bernilai RM500 ribu dan ke bawah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan MMC Sdn. Bhd., Datuk Nor’ashikin Taib berkata, penganjuran Ekspo Rumah BPEX untuk membantu golongan ini memiliki rumah dengan prosedur yang mudah.
“Pameran ini mendapat sokongan daripada KPKT, Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-BIAYA) dan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).
“Sebanyak 8,000 unit lot Bumiputera ditawarkan dengan anggaran nilai hartanah sebanyak RM6 bilion bersama 50 pemaju,” katanya.