4,000 kediaman di KL, Selangor ditawarkan kepada bumiputera pada BPEX 2023

KUALA LUMPUR – Golongan Bumiputera bakal menikmati tawaran potongan sehingga 15 peratus menerusi pembelian rumah dalam Pameran Harta Tanah Bumiputera (BPEX) 2023 di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley pada 27 dan 28 Mei ini.

Pengarah Urusan MMC Sdn Bhd, Datuk Norashikin Taib berkata, lebih 4,000 unit kediaman untuk kuota bumiputera ditawarkan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada harga bermula dari RM250,000.

Katanya, pameran itu bertujuan mempromosi lot bumiputera yang belum terjual selain menggalakkan lebih banyak pemilikan bumiputera di kawasan Lembah Klang.

“Pameran BPEX yang berlangsung dua hari itu akan diadakan bermula dari jam 11 pagi hingga 9 malam. Pelbagai bantuan ditawarkan kepada pembeli antaranya Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Negara (SKJP) dari Kementerian Kewangan.

“Ia khusus untuk individu yang tidak mempunyai slip gaji, golongan B40 dan juga anak muda yang masih belum membeli rumah pertama.

“Kita turut menampilkan sebanyak 50 pemaju perumahan yang sudah ditapis dan akan menawarkan kediaman di sekitar Lembah Klang,” katanya.

WhatsApp-Image-2023-05-23-at-2
Pengarah Urusan MMC Sdn Bhd, Datuk Norashikin Taib.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai penganjuran pameran harta tanah bumiputera (BPEX), di sini, hari ini.

Hadir pada sidang media Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail.

Sepanjang dua hari berlangsung, Norashikin berkata, pihaknya menyasarkan jualan lebih 80 peratus daripada 4,000 unit kediaman yang ditawarkan kepada bumiputera.

“Pada tahun lalu, BPEX berjaya mencapai sasaran dengan transaksi jualan melebihi RM50 juta sepanjang penganjuran pameran itu walaupun ekonomi negara sebelum ini terjejas dek pademik Covid-19.

“Selain menyediakan pameran jualan, pengunjung juga diberikan tips dan pendedahan berkaitan pembelian rumah daripada pakar hartanah yang akan diadakan pukul 12 tengah hari pada 27 Mei nanti,” ujarnya.

WhatsApp-Image-2023-05-23-at-2
Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail.

Sementara itu, Rodziah berkata, kerajaan negeri menyokong penuh penganjuran BPEX selari dengan hasrat untuk membantu rakyat Selangor memiliki ‘Satu Rumah Satu Keluarga Bumiputera’.

Katanya, pameran BPEX mampu menjadi platform untuk mendidik bakal pembeli terutama golongan muda agar celik dalam pembelian hartanah.

“BPEX bakal menjadi pusat sehenti orang ramai yang tercari-cari bagaimana untuk memiliki rumah yang menepati citarasa mereka tetapi kemudahan lain seperti kuota Bumiputera yang disediakan kerajaan.

“Ada juga khidmat nasihat daripada pihak institusi kewangan selain SJKP yang turut sama bagi membantu mereka yang tiada slip gaji atau penyata kewangan jelas melalui prosedur tertentu.

“Ini adalah alternatif kepada pelbagai pihak terutama bumiputera yang tiada sokongan dari sudut penyata kewangan sebagai pemudahcara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Sumber : https://malaysiagazette.com/2023/05/23/4000-kediaman-di-kl-selangor-ditawarkan-kepada-bumiputera-pada-bpex-2023/

Satu Rumah Satu Keluarga Bumiputera

Pengerusi Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail berkata, kerajaan negeri menyokong penuh penganjuran BPEX selari dengan hasrat untuk membantu rakyat Selangor memiliki ‘Satu Rumah Satu Keluarga Bumiputera’.

Sumber : https://www.facebook.com/watch/?v=1296699777897259&extid=CL-UNK-UNK-UNK-AN_GK0T-GK1C&mibextid=l2pjGR&ref=sharing

Selangor sokong BPEX sebagai pusat sehenti pembeli

Kerajaan Selangor telah memberikan sokongan kepada Pameran Harta Tanah Bumiputera (BPEX) Lembah Kelang sebagai pusat sehenti untuk pembeli rumah B40 dan golongan muda bumiputera.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail menyatakan sokongan terhadap penganjuran BPEX bagi membantu golongan bumiputera untuk mendapatkan rumah pertama dengan mudah.

“Sokongan saya kepada BPEX adalah untuk mempromosi rumah harga bebas tetapi ianya mempunyai kuota untuk bumiputera untuk dibeli kerana saya dapati kebanyakan rumah kediaman ini banyak di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Saya ingin jadikan BPEX sebagai pusat sehenti (one stop centre) kerana ramai (pembeli) tercari-cari bagaimana untuk memiliki pelbagai jenis rumah yang menepati citarasa,” katanya pada sidang media di Westlink Garage and Cafe, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Rodziah, bantuan kewangan untuk pembelian turut ditawarkan oleh Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Negara Berhad (SJKP).

“Jaminan boleh diberi oleh SJKP kepada mereka yang tidak memiliki slip gaji, golongan B40 dan anak muda yang masih belum membeli rumah pertama,” katanya.

Tambah beliau, pada pameran tersebut itu nanti turut akan diadakan beberapa promosi termasuk potongan 15 peratus bagi pembelian unit kediaman.

“Selain itu kos memorandum perpindahan (MOT) dan guaman juga akan diberi pertimbangan oleh pihak pemaju untuk diserap di dalam penjualan tersebut,” ujarnya lanjut.

BPEX 2023 dengan slogan Mudahnya Beli Rumah, anjuran Marvel Management Communication Sdn Bhd akan berlangsung pada 27 dan 28 Mei ini di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley (MVEC).

Pameran ini melibatkan 50 pemaju perumahan dan 4000 unit kediaman.

Ia turut mendapat sokongan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sumber : https://harapandaily.com/selangor-sokong-bpex-sebagai-pusat-sehenti-pembeli/

Pameran hartanah tawar 4,000 kediaman untuk Bumiputera, diskaun sehingga 15 peratus

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Lebih 4,000 unit kediaman untuk kuota Bumiputera ditawarkan sempena Pameran Harta Tanah Bumiputera (BPEX) di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley pada Sabtu dan Ahad ini.

Pengarah Urusan Marvel Management Communication Sdn Bhd Datuk Norashikin Taib berkata orang ramai terutama golongan muda Bumiputera yang masih belum memiliki rumah disaran merebut peluang berkunjung ke ekspo bermula dari jam 11 pagi hingga 9 malam itu yang menawarkan potongan sehingga 15 peratus bagi pembelian hartanah.

Norashikin berkata kediaman yang ditawarkan adalah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada harga bermula dari RM250,000 sehingga RM2 juta.

Pengasas dan Pengarah Urusan Marvel Management Communication Sdn Bhd Dato’ Norashikin Taib pada sidang media Pameran Harta Tanah Bumiputera (BPEX) di Westlink Garage and Cafe, Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur pada 23 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Dalam pameran ini kita sediakan pelbagai bantuan termasuk Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Negara (SJKP) untuk kemudahan individu yang tidak memiliki slip gaji, penyertaan institusi kewangan bagi memberi khidmat nasihat selain penyertaan 50 pemaju perumahan,” katanya pada sidang media BPEX di sini, hari ini.

Turut hadir EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Selangor Rodziah Ismail.

Norashikin berkata daripada 4,000 unit rumah, pihaknya mensasarkan jualan lebih 80 peratus sepanjang dua hari penganjuran pameran berkenaan.

“Dalam penganjuran tahun lalu kira-kira RM50 juta transaksi jual beli kediaman direkodkan.

“Selain pameran jualan, pengunjung juga diberikan tips pembelian rumah daripada pakar hartanah pada jam 12 tengah hari pada hari pertama penganjuran,” katanya.

Sumber : https://selangorkini.my/2023/05/pameran-hartanah-tawar-4000-kediaman-untuk-bumiputera-diskaun-sehingga-15-peratus/

Bantuan Pinjaman Perumahan Buat Anak Muda Dan B40 Di BPEX

PETALING JAYA: Statistik Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) mengumumkan 35,592 rumah siap dan tidak terjual (overhang) melibatkan nilai RM22.45 billion sehingga suku pertama tahun 2022.

Selangor menyumbang kepada 5,215 unit rumah dan menjadi negeri ketiga terbanyak unit kediaman tidak terjual selepas Johor Dan Pulau Pinang.

Di samping harga rumah yang mahal, rakyat juga rasa terbeban dengan proses pinjaman rumah yang memakan masa lama.

Justeru, golongan B40 serta anak muda yang baru bekerja dijemput menghadiri pameran Harta Tanah Bumiputera (BPEX) 2023.

Pameran ini akan memperkenalkan kepada pengunjung pelbagai kemudahan dan tawaran yang disediakan dalam urusan jual beli rumah oleh para pemaju hartanah.

Pengarah Urusan MMC Dato’ Nor’ashikin Taib, berkata rumah di BPEX akan ditawarkan bermula dari RM250,000 hingga RM2 juta.

Bukan itu sahaja bantuan pinjaman wang perumahan turut ditawarkan kepada pengunjung yang layak dengan had biaya sebanyak RM500,000.

BPEX 2023 akan menampilkan seramai 50 pemaju perumahan yang berkredibiliti dalam bidang hartanah.

Antaranya Ehsan Armada, Jayyid Land Sdn Bhd (Platinum V) dan Pembinaan Serta Hebat Sdn Bhd (PV).

Turut hadir pemaju Mah Sing iaitu Semai Meranti Sdn Bhd, Oasis Garden DEV SB, Nova Century DEV SB dan M Vertica SB.

Tidak ketinggalan syarikat Binastra Land, THP Hartanah Sdn Bhd, Titian Sama Sdn Bhd dan Eupe PJ South.

Lebih menarik beberapa syarikat besar seperti PKNS, Gamuda Land (Botanic) Sdn Bhd, Glenmarie Cove, Paramount Property, Idaman Sejiwa, Global Activate Sdn Bhd dan Enso Development turut bekerjasama dengan BPEX kali ini.

Hadir sama Syarikat Perumahan Negara Berhad, Pelaburan Hartanah Berhad, Perbadanan Pr1ma Malaysia, Bank Kerjasama Rakyat Msia Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Simpanan Nasional.

Selain itu, pemaju daripada Trinity Wellnessa & Enlivea Dev SB, Cosmo Housing Development SB, Sunny Uptown Sdn Bhd, Eco Sanctuary Sdn Bhd serta BBCC Development Sdn Bhd juga terlibat.

Tidak ketinggalan pemaju LTS Skyline Sdn Bhd, L&T Realty Sdn Bhd, Subang Alam Sdn Bhd, Glomac Group Management SVCS SB dan Ancubic Capital Sdn Bhd juga akan hadir pada pameran itu nanti.

Pameran BPEX akan berlangsung selama dua hari bermula 27 dan 28 Mei 2023 di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley (MVEC).

Sumber : https://sumberkini.my/bantuan-pinjaman-perumahan-buat-anak-muda-dan-b40-di-bpex/

PKNS Dan Gamuda Antara Pemaju Hartanah Tawar Pakej Menarik

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) antara syarikat hartanah yang bakal memeriahkan pameran Harta Tanah Bumiputera (BPEX) 2023.

PKNS yang ditubuhkan pada 1964 di bawah Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (1964) sebagai badan berkanun dan agensi pembangunan bagi negeri Selangor.

Syarikat ini dikenali dalam kalangan pemaju dan pembeli hartanah kerana sejak penubuhannya, PKNS telah mewujudkan kuota penjualan hartanah bagi bumiputera sebanyak 70 peratus dan bukan bumiputera 30 peratus.

Bukan itu sahaja, PKNS turut memberi peluang kepada rakyat Selangor memiliki hartanah berkualiti dengan harga berpatutan.

Selain PKNS, turut hadir ke BPEX 2023 adalah Gamuda Land (Botanic) Sdn Bhd antara pemaju perumahan yang terkenal di Malaysia.

Gamuda Land menerajui pembangunan perbandaran bersepadu yang direka dengan keharmonian alam semulajadi.

Antara kejayaan mereka termasuklah Bandar Botanic, Klang, projek Residensi eksklusif Valencia dan Gamuda Cove.

Selaras dengan fokus BPEX yang ingin membantu rakyat bumiputera mendapatkan rumah pertama dengan mudah, Perbadanan PR1MA Malaysia turut dijemput ke BPEX 2023 nanti.

Objektif PR1MA jelas untuk membangunkan rumah moden dan selesa serta mampu milik untuk golongan berpendapatan sederhana.

Pada pameran BPEX nanti skim PR1MA akan menawarkan rumah sewa beli kepada bakal pembeli rumah. Rumah yang telah siap akan disewa terlebih dahulu kepada pembeli sebelum mereka bersetuju untuk membelinya kemudian.

Dalam pada itu, banyak lagi kemudahan dan tawaran hartanah yang boleh dinikmati para pengunjung BPEX 2023. Justeru, anda semua dijemput untuk menghadiri BPEX 2023 secara percuma yang bakal berlangsung pada 27 dan 28 Mei ini di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley (MVEC).

Sumber : https://sumberkini.my/bpex-pkns-dan-gamuda-antara-pemaju-hartanah-tawar-pakej-menarik/

Mudahnya Beli Rumah Di Pameran Harta Tanah Bumiputera 2023

PETALING JAYA: Bagi anda yang masih belum memiliki rumah, ini peluang terbaik mendapatkan kediaman dengan tawaran yang sangat menarik.

Anda dijemput untuk menghadiri Pameran Harta Tanah Bumiputera (BPEX) 2023 yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Mei ini di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley (MVEC).

Penganjur program Datuk Nor’ashikin Taib berkata tema BPEX tahun ini ialah ‘Mudahnya Beli Rumah’ bertujuan mengajak rakyat Malaysia membeli rumah melalui pakej dan promosi dengan tawaran berbaloi-baloi.

“Ramai rakyat Malaysia sukar nak beli rumah. Mungkin kebanyakannya disebabkan rumah semakin mahal, pendapatan berkurangan akibat pandemik dan sebagainya,” katanya kepada SUMBERKINI.

Justeru, bagi memudahkan rakyat membeli rumah, BPEX 2023 menyuntik kelainan dengan kerjasama bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam memperkenalkan  Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Negara Berhad (SJKP) akan menjamin pinjaman bakal pembeli rumah.

“Jadi kita bersama-sama KPKT dan juga kerajaan negeri Selangor bersama-sama program i-biaya membawa syarikat SJKP untuk rakyat Malaysia,” terangnya.

Tambah beliau lagi, SJKP ini akan membantu terutamanya pembeli-pembeli yang tiada slip gaji, mempunyai pendapatan serendah RM1,000 ke RM11,000 dan masih tidak mempunyai rumah.

BPEX 2023 akan melibatkan 50 pemaju perumahan yang akan mengambil bahagian. Fokus pameran ini bukan sahaja mempromosikan lot-lot hartanah malah ia turut memfokuskan kuota lot-lot bumiputera yang masih belum terjual.

Difahamkan kira-kira 4,000 unit kediaman akan dipamerkan ketika pameran itu nanti di mana 95 peratus kediaman tersebut terletak di Lembah Klang.

Untuk rekod, pameran ini telah dianjurkan sejak 15 tahun lalu. Bermula tahun 2008, BPEX telah membantu pemaju dan pembeli rumah untuk membuat pilihan bijak sebelum melabur dalam harta tanah. Malahan banyak individu terutamanya bumiputera mampu memiliki rumah sendiri.

Sumber : https://sumberkini.my/mudahnya-beli-rumah-di-pameran-harta-tanah-bumiputera-2023/

Tiada Slip Gaji Pun Boleh Miliki Rumah Di BPEX

PETALING JAYA: Selain faktor harga rumah terlampau mahal, ramai juga yang belum memiliki rumah pertama kerana tidak mempunyai slip gaji.

Inilah kelainan yang ditampilkan dalam Pameran Harta Tanah Bumiputera (BPEX) 2023 turut membantu bumiputera mendapatkan rumah idaman dengan pelbagai inisiatif.

Pengarah Urusan Marvel Management Communication (MMC), Datuk Nor’ashikin Taib berkata  pameran kali ini ingin memperkenalkan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Negara Berhad (SJKP) di bawah Kementerian Kewangan untuk mereka yang ingin memiliki rumah.

“Baru-baru ini kerajaan melancarkan peruntukan berjumlah RM5 bilion dan dilihat masih ramai yang tidak tahu mengenai skim ini khususnya rakyat bumiputera.

“SJKP ini akan membantu pembeli-pembeli yang tiada slip gaji, mempunyai pendapatan serendah RM1,000 ke RM11,000 dan masih tidak mempunyai rumah.

“Jadi mereka yang bekerja kilang dan peniaga kecil-kecilan yang susah untuk mendapatkan pembiayaan perumahan, sangat digalakkan untuk hadir ke BPEX 2023 bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya ketika ditemui SUMBERKINI pada Selasa.

Pameran ini yang berobjektifkan ‘Mudahnya Beli Rumah’ ini menawarkan kira-kira 4,000 unit kediaman di sekitar Lembah Klang yang melibatkan 50 pemaju perumahan dan akan berlangsung pada 27 hingga 28 Mei ini bermula 11 pagi hingga 9 malam.

Pameran  harga sebuah unit kediaman akan ditawarkan bermula dari RM250,000 sehingga RM2 juta. BPEX 2023 ini juga menyasarkan transaksi jualan sebanyak RM50 bilion.

“Jadi kita bersama-sama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan juga kerajaan negeri Selangor bersama-sama program i-biaya membawa syarikat SJKP untuk rakyat Malaysia,” terangnya.

Tambahnya, matlamat BPEX bukan sahaja untuk mempromosikan hartanah para pemaju namun ia turut menfokuskan lot-lot kuota bumiputera yang belum terjual.

“Jadi dengan skim-skim yang ditawarkan ini dapat memudahkan pembeli-pembeli bumiputera memiliki rumah. Bukan itu sahaja, diharapkan juga kita dapat meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam bidang hartanah dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Bagi meringankan beban para pembeli rumah, diskaun sebanyak 15 peratus serta pengecualian wang pendahuluan akan diberikan kepada pengunjung BPEX 2023.

Nor’ashikin turut memberitahu pihaknya merancang untuk mengadakan BPEX ini di negeri-negeri lain berikutan permintaan yang sangat menggalakkan.

“Kami mungkin akan bekerjasama dengan perumahan dan universiti terkemuka di Johor bagi mempromosikan BPEX pada hujung tahun ini. Itu perancangan masa depan kita untuk promosikan BPEX di bahagian selatan.

“Mungkin selepas itu kita akan promosikan BPEX di Pahang juga,” tambahnya.

Beliau turut melihat bahawa rakyat bumiputera sering merancang untuk membeli kereta dahulu berbanding kaum lain yang berminat untuk membeli rumah. Justeru beliau menyeru agar rakyat dapat membuat perancangan untuk melabur dalam harta tanah.

“Kita selalu fikir susah nak beli rumah, ‘loan’ payah nak dapat, gaji tak cukup dan sebagainya. Tapi sebenarnya kita ada pelbagai pakej yang dilancarkan oleh kerajaan untuk memberi peluang kepada rakyat memiliki rumah,” kata Nor’ashikin.

BPEX 2023 akan berlangsung di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley (MVEC) selama dua hari berturut-turut. Para pengunjung tidak perlu membawa sebarang dokumen dan masuk adalah percuma.

Sumber : https://sumberkini.my/bumiputera-perlu-rebut-4000-kediaman-di-bpex/

Anak Muda Patut Beli Rumah Atau Kereta Dahulu?

PETALING JAYA: Patut beli rumah atau kereta dahulu? Soalan lazim ini sering menjengah fikiran kita lebih-lebih lagi graduan yang baharu bekerja.

Kebanyakan kita sedar bahawa membeli rumah merupakan satu bentuk pelaburan yang lebih menguntungkan untuk masa depan, namun disebabkan harganya yang lebih tinggi ramai yang menangguhkan hasrat tersebut.

Menurut Pengarah Urusan Marvel Management Communication (MMC), Datuk Norashikin Taib, masyarakat kita sudah terbiasa untuk menunjukkan gaya hidup mereka.

“Ramai kurang memberikan fokus untuk memiliki rumah di usia muda, mereka hanya berfikir untuk membeli rumah ketika ingin berkahwin nanti,” katanya ketika ditemui SUMBERKINI pada Selasa.

Nasihat beliau, pemikiran sebegitu sepatutnya diubah kerana nilai rumah di pasaran semakin lama semakin mahal.

Justeru Norashikin mengajak anak muda khususnya untuk hadir ke pameran-pameran hartanah dan mengutip seberapa banyak ilmu mengenai isu beli rumah ini.

“Apa salahnya kita datang ke Pameran Harta Tanah Bumiputera (BPEX) 2023 ini, tak beli pun tak apa. Sekurang-kurangnya kita sudah ada perancangan untuk menentukan fokus kita pada masa depan,” jelasnya.

Sempena BPEX 2023 yang akan berlangsung pada 27 hingga 28 Mei ini, kira-kira 50 pemaju akan hadir untuk mempamerkan unit kediaman masing-masing.

Pameran yang bertempat di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley (MVEC) terbuka untuk orang ramai dan masuk adalah percuma.

Sumber : https://sumberkini.my/anak-muda-patut-beli-rumah-atau-kereta-dahulu/