Tidak lama lagi!

Tiada Slip Gaji Pun Boleh Miliki Rumah Di BPEX

May 10, 2023

PETALING JAYA: Selain faktor harga rumah terlampau mahal, ramai juga yang belum memiliki rumah pertama kerana tidak mempunyai slip gaji.

Inilah kelainan yang ditampilkan dalam Pameran Harta Tanah Bumiputera (BPEX) 2023 turut membantu bumiputera mendapatkan rumah idaman dengan pelbagai inisiatif.

Pengarah Urusan Marvel Management Communication (MMC), Datuk Nor’ashikin Taib berkata  pameran kali ini ingin memperkenalkan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Negara Berhad (SJKP) di bawah Kementerian Kewangan untuk mereka yang ingin memiliki rumah.

“Baru-baru ini kerajaan melancarkan peruntukan berjumlah RM5 bilion dan dilihat masih ramai yang tidak tahu mengenai skim ini khususnya rakyat bumiputera.

“SJKP ini akan membantu pembeli-pembeli yang tiada slip gaji, mempunyai pendapatan serendah RM1,000 ke RM11,000 dan masih tidak mempunyai rumah.

“Jadi mereka yang bekerja kilang dan peniaga kecil-kecilan yang susah untuk mendapatkan pembiayaan perumahan, sangat digalakkan untuk hadir ke BPEX 2023 bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya ketika ditemui SUMBERKINI pada Selasa.

Pameran ini yang berobjektifkan ‘Mudahnya Beli Rumah’ ini menawarkan kira-kira 4,000 unit kediaman di sekitar Lembah Klang yang melibatkan 50 pemaju perumahan dan akan berlangsung pada 27 hingga 28 Mei ini bermula 11 pagi hingga 9 malam.

Pameran  harga sebuah unit kediaman akan ditawarkan bermula dari RM250,000 sehingga RM2 juta. BPEX 2023 ini juga menyasarkan transaksi jualan sebanyak RM50 bilion.

“Jadi kita bersama-sama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan juga kerajaan negeri Selangor bersama-sama program i-biaya membawa syarikat SJKP untuk rakyat Malaysia,” terangnya.

Tambahnya, matlamat BPEX bukan sahaja untuk mempromosikan hartanah para pemaju namun ia turut menfokuskan lot-lot kuota bumiputera yang belum terjual.

“Jadi dengan skim-skim yang ditawarkan ini dapat memudahkan pembeli-pembeli bumiputera memiliki rumah. Bukan itu sahaja, diharapkan juga kita dapat meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam bidang hartanah dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Bagi meringankan beban para pembeli rumah, diskaun sebanyak 15 peratus serta pengecualian wang pendahuluan akan diberikan kepada pengunjung BPEX 2023.

Nor’ashikin turut memberitahu pihaknya merancang untuk mengadakan BPEX ini di negeri-negeri lain berikutan permintaan yang sangat menggalakkan.

“Kami mungkin akan bekerjasama dengan perumahan dan universiti terkemuka di Johor bagi mempromosikan BPEX pada hujung tahun ini. Itu perancangan masa depan kita untuk promosikan BPEX di bahagian selatan.

“Mungkin selepas itu kita akan promosikan BPEX di Pahang juga,” tambahnya.

Beliau turut melihat bahawa rakyat bumiputera sering merancang untuk membeli kereta dahulu berbanding kaum lain yang berminat untuk membeli rumah. Justeru beliau menyeru agar rakyat dapat membuat perancangan untuk melabur dalam harta tanah.

“Kita selalu fikir susah nak beli rumah, ‘loan’ payah nak dapat, gaji tak cukup dan sebagainya. Tapi sebenarnya kita ada pelbagai pakej yang dilancarkan oleh kerajaan untuk memberi peluang kepada rakyat memiliki rumah,” kata Nor’ashikin.

BPEX 2023 akan berlangsung di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley (MVEC) selama dua hari berturut-turut. Para pengunjung tidak perlu membawa sebarang dokumen dan masuk adalah percuma.

Sumber : https://sumberkini.my/bumiputera-perlu-rebut-4000-kediaman-di-bpex/

Copyright © 2017-2024 BPEX by MARVEL MANAGEMENT COMMUNICATION SDN BHD 
(formerly known as Medimesra Care Management Sdn Bhd). All Rights Reserved.
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram