PETALING JAYA: Bagi anda yang masih belum memiliki rumah, ini peluang terbaik mendapatkan kediaman dengan tawaran yang sangat menarik.
Anda dijemput untuk menghadiri Pameran Harta Tanah Bumiputera (BPEX) 2023 yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Mei ini di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley (MVEC).
Penganjur program Datuk Nor’ashikin Taib berkata tema BPEX tahun ini ialah ‘Mudahnya Beli Rumah’ bertujuan mengajak rakyat Malaysia membeli rumah melalui pakej dan promosi dengan tawaran berbaloi-baloi.
“Ramai rakyat Malaysia sukar nak beli rumah. Mungkin kebanyakannya disebabkan rumah semakin mahal, pendapatan berkurangan akibat pandemik dan sebagainya,” katanya kepada SUMBERKINI.
Justeru, bagi memudahkan rakyat membeli rumah, BPEX 2023 menyuntik kelainan dengan kerjasama bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam memperkenalkan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Negara Berhad (SJKP) akan menjamin pinjaman bakal pembeli rumah.
“Jadi kita bersama-sama KPKT dan juga kerajaan negeri Selangor bersama-sama program i-biaya membawa syarikat SJKP untuk rakyat Malaysia,” terangnya.
Tambah beliau lagi, SJKP ini akan membantu terutamanya pembeli-pembeli yang tiada slip gaji, mempunyai pendapatan serendah RM1,000 ke RM11,000 dan masih tidak mempunyai rumah.
BPEX 2023 akan melibatkan 50 pemaju perumahan yang akan mengambil bahagian. Fokus pameran ini bukan sahaja mempromosikan lot-lot hartanah malah ia turut memfokuskan kuota lot-lot bumiputera yang masih belum terjual.
Difahamkan kira-kira 4,000 unit kediaman akan dipamerkan ketika pameran itu nanti di mana 95 peratus kediaman tersebut terletak di Lembah Klang.
Untuk rekod, pameran ini telah dianjurkan sejak 15 tahun lalu. Bermula tahun 2008, BPEX telah membantu pemaju dan pembeli rumah untuk membuat pilihan bijak sebelum melabur dalam harta tanah. Malahan banyak individu terutamanya bumiputera mampu memiliki rumah sendiri.
Sumber : https://sumberkini.my/mudahnya-beli-rumah-di-pameran-harta-tanah-bumiputera-2023/